Misteri plot dengan kepuasan seram yang cukup dalam bayangan gaya ala Jordan Peele
Pengarah: Gerard Bush, Christopher Renz
Tarikh Tayangan: 10 September 2020
Dunia perfileman masih lagi mencari rentak dalam menyesuaikan dengan keadaan pandemik semasa. Sedar atau tidak satu per satu filem masih terus dikeluarkan bagi memastikan kelangsungan industri. Begitu juga dengan genre yang menanti penonton. Variasi karya yang dipertontonkan membolehkan orang ramai memilih genre pilihan masing-masing. Filem seram atau “thriller” kini kembali menghantui semua.
Filem ANTEBELLUM menangkap peminat genre seram apabila “trailer” dikeluarkan. Sorotan sedutan beberapa minit filem itu berjaya untuk tidak menonjolkan keseluruhan cerita. Semuanya nampak misteri.
ANTEBELLUM mengisahkan Veronica Henley, seorang penulis dan wanita berpengaruh diculik daripada kehidupan semasanya. Dia bersama beberapa orang berbangsa Afrika-Amerika ditahan di satu era ketika peperangan dan penindasan terhadap orang minoriti masih lagi berlaku. Berbekalkan semangat untuk menemui suami dan anak yang tercinta, Veronica nekad untuk melepaskan diri. Dia dibantu beberapa orang lain yang turut terperangkap.
Pujian harus diberikan kepada permainan susunan plot dalam cerita ini. Pada permulaan, penonton didedahkan terus pada era zaman Perang Saudara dan penindasan sekitar tahun 1860-an yang tertumpu pada kehidupan hamba abdi bernama Eden. Di babak pertengahan, barulah kisah Veronica muncul.
Pada ketika inilah penonton mula berfikir kaitan antara dua perjalanan cerita dan latar masa ini. Bertepatan dengan genre seram, elemen misteri dikekalkan dengan baik. Watak utama yang dimainkan oleh penyanyi dan pelakon popular Amerika, Janelle Monáe memperlihatkan kebolehan dirinya yang versatil.
ANTABELLUM bukanlah cerita klise aksi seram yang berterusan menonjolkan hantu atau pemaparan keadaan cemas. Filem ini diatur dengan drama dan kisah yang membuat penonton terganggu serta berfikir tentang satu per satu keadaan. Kemudian, penindasan demi penindasan terhadap orang yang tidak bersalah akan membuat emosi penonton bercampur baur.
Di akhirnya, konsep karma diletakkan dengan baik terhadap setiap watak. Filem ini juga mengekalkan elemen realisme. Seram yang diletakkan bukan kepada fantasi, atau kejadian ghaib seperti kewujudan hantu, entiti atau keadaan aneh.
Sekali lagi, isu perkauman dibangkitkan menjadi isu utama. Amerika kini berterusan mempertahankan nasib orang Afrika-Amerika. Pengarah dan penulis ANTEBELLUM tidak meletakkan kiasan dalam babak atau dialog.
Semuanya secara terus tanpa berselindung menunjukkan keadaan golongan Afrika-Amerika yang ditindas menjadi hamba. Keadaan ini tidak lapuk sejak dari zaman dahulu hinggalah sekarang. Tema memperkasakan wanita juga menjadi subjek utama. Watak-watak yang difokuskan ialah kebanyakan golongan wanita. Mereka cuba bangkit setelah ditindas dan dianggap lemah oleh orang kebanyakan.
Secara keseluruhannya, ANTEBELLUM ialah sebuah filem seram yang baik dari segi pengekalan misteri dan elemen kejutan plot. Tidak hairanlah filem ini datang daripada produser yang sama untuk filem Get Out dan Us. Penonton juga akan merasakan puas apabila melihat nasib watak jahat akan terbalas. Cerita ini juga tiada pengakhiran yang tergantung.
Isu mempertahankan dan memperkasa nasib orang Afrika-Amerika dilihat seolah-olah gaya Jordan Peele dalam filem seramnya.
Namun, karya ini masih jauh untuk ke tahap kiasan dan simbolisme Peele. ANTABELLUM membuat kejutan di pawagam bermula 10 Spetember 2020 dengan elemen seramnya. Filem ini hanya boleh ditonton untuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas.
Rating: 7/10
GSCMOVIES
[Seram/Thriller/Psikologikal]
{{ reviewsOverall }} / 10
Users
(0 votes)
Rating0
What people say...
Login to rate
Show more
Order by:
Be the first to leave a review.
{{ pageNumber+1 }}