Antara genre filem yang makcik malas nak tengok ialah genre romantik…tapi bila baca sinopsis, kisah cinta antara 2 pasangan kanibal. Ok, makcik tengoklah sebab nak tahu apa isi di dalamnya. Best atau tak?, cubalah baca ulasannya dahulu
Maren Yearly, seorang gadis berusia 18 tahun tinggal di Maryland bersama bapanya yang “strict”. Satu malam, dia menyelinap keluar kononnya nak pergi melepak dengan rakan sekelasnya. Tapi apa yang berlaku sangat menakutkan, dia gigit dan makan jari kawannya. Terkejut! – Maren berlari pulang kerumah, dan bapanya membawanya pula lari dari situ, jauh entah kemana.
Bila Maren bangun dari tidur, bapanya telah meninggalkannya bersendirian…dengan sedikit wang, sijil kelahiran dan satu pita rakaman. Maren tidak mengenali siapa ibunya, dan apabila melihat sijil kelahirannya yang mengandungi maklumat lengkap nama dan tempat lahir ibu – dia bercadang untuk mencarinya. Maka bermulalah satu perjalanan yang panjang buat Maren.
Dalam pita rakaman itu, bapanya memberitahu yang Maren mempunyai kecenderungan kanibal. Pada usianya 3 tahun, dia membunuh “babysitter”, dan pada usia 7 tahun dia membunuh rakan sekolahnya sewaktu berkhemah. Tapi Maren tidak menyedari, dan bapanya berterusan melindungi, mereka hidup berpindah randah dengan identiti yang bertukar-tukar. Ibunya meninggalkan dia selepas dia “makan” babysitternya…dan kini bapanya pula lari – takut di”makan” oleh anaknya semasa tidur (agaknyalah!).
Dalam perjalanan ke tempat ibunya, dia menemui seorang lelaki tua bernama Sully. Sully tahu yang Maren sama sepertinya, kanibal. Dia mengajak Maren mengikutnya mengembara, menjadi teman sambil cari mangsa berjemaah. Selepas kenduri mayat seorang wanita, Maren lari cepat-cepat naik bas, dan tinggalkan Sully termangu-mangu ditepi jalan.
Seperti Sully, sebenarnya golongan kanibal ni boleh mengenal sesama sendiri melalui bau. Tu dia…sepertimana Maren mengenali Lee, seorang pemuda yang ditemui di kedai serbaneka. Dan Lee pula bersetuju untuk membantunya mencari ibu Maren. Jadinya, dalam perjalanan mereka berkongsi pengalaman, bercerita kisah suka duka dan lalu jatuh cinta.
Maren berjaya menemui ibunya, tapi sayang – Janelle berada di Rumah Sakit Jiwa. Eh, Janelle pun sebenarnya kanibal juga. Ada lah surat yang ditulis khas untuk Maren dan suaminya di dalam fail perubatan dia. Tapi masa Maren temui Janelle, dia dah tak kenal dirinya sendiri kerana kesan ubat yang berterusan.
Maren dan Lee, akhirnya bersepakat – ” Lets get normal!”…cari kerja, sewa rumah, berkahwin dan ada anak. Tak perlu jadi kanibal, lari sini sana lagi. Kerana mereka sudah ada diri masing-masing untuk menerima dan memahami. Hebatnya kuasa cinta kan . Tapi tu lah, bolehkah mereka jadi seperti yang dirancang?
Durasi filem ni 2 jam ++, agak panjang juga. Dek kerana Maren ni baru belajar nak memahami hidup sebagai kanibal, banyak yang Lee ajar dia. Jadinya, babak bersembang mendominasi filem ni. Korang yang tak suka cerita membebel ni, toksah tengoklah. Tapi ada sikit babak mereka makan orang, tapi tak adalah gore pun. Kalau nak mencari kelainan, bolehlah tonton filem ni.
Be the first to leave a review.