LAST SUMMER (2013)
LAST SUMMER merupakan sebuah filem SERAM THRILLER PSYCHOLOGY negara gajah putih yang cukup menarik apabila ia menggarapkan 3 kisah pendek yang saling berhubung kait kemudian dilengkapkan menjadi 1 kisah yang memuaskan walaupun pengakhirannya mencetuskan emosi yang suram sebagai seorang peminat filem seram, bukannya suram sebab tak menarik atau mengecewakan tetapi suram kerana sedih dengan kisah si mangsa.
Filem ini boleh dikategorikan sebagai filem psiko thriller kerana kisah seramnya tidak terlalu menonjol namun apa yang sangat menarik tentang filem ini ia menampilkan kisah persahabatan, percintaan, kehidupan dan konflik remaja serta keluarga yang akan membuatkan kita berfikir dan berteka-teki hingga membawa kita kepada akhir cerita yang pasti tidak dapat kita jangka.
LAST SUMMER semestinya sebuah filem yang perlu kita tonton walau untuk sekali kerana kisahnya boleh kita kaitkan dengan kehidupan sebenar sesetengah remaja. Kejutan dan kelebihan filem ini bukanlah kisah hantunya tetapi kepada kelemahan manusia dan ia juga mampu memberi kesan moral kepada para ibubapa dan remaja. Sikap manusia jugalah membuktikan bahawa yang hidup ini lebih menakutkan daripada yang mati!
Filem dimulakan dimana Singh (lakonan Jirayu La-ongmanee) yang sedang bercinta dengan Joy (lakonan Pimpakan Phraekhunnatham) sedang berhubung melalui “Facebook”, kemudian Joy memuat naik status mengatakan yang dia terasa nak mati.
Singh terus menjawab status itu mengatakan “Jangan mati dulu, jom kita pergi pantai berjalan-jalan” dan babak seterusnya menunjukkan Joy, Singh dan 2 orang sahabat mereka Meen (lakonan Sutatta Udomsilp) dan Garn (lakonan Krit Sathapanapitakkij) pergi ke pantai dengan menggunakan kereta milik ayah Singh. Mereka bermalam di sebuah villa yang berhadapan dengan pantai milik ayah Singh.
Ketika mereka sedang bersenang-lenang menari dan minum-minum, tiba-tiba Joy mabuk dan tidak sedarkan diri. Singh terus membawa Joy ke bilik tidurnya, namun ketika Singh cuba untuk merogol Joy, tiba-tiba badan Joy menggelupur seperti terkena sawan. Garn dan Meen cuba membantu mengawal situasi namun Joy tidak dapat diselamatkan dan akhirnya mati disitu juga.
Mereka sangat panik dan tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak polis kerana risau akan ditangkap. Dalam keadaan terpaksa, mereka membalut mayat Joy dan membuang ia di sebuah gaung berdekatan dengan laut. Sejak kejadian itu, macam-macam kejadian aneh mula berlaku dan menghantui Singh.
Dan akhir filem ini, kita akan ditunjukkan bagaimana Joy boleh terjebak dengan kawan-kawannya, bagaimana hubungan sebenar Joy dan Singh, apa yang menyebabkan Joy depresi sehingga terasa ingin mati dan konflik keluarga yang dialami Joy bersama Ibu dan abangnya.
Be the first to leave a review.