Maaf, direct sp*il*r al*rt… kalau nak menonton, sila sediakan tisu banyak-banyak. Dan kalau murung, jangan salahkan makcik.
Seorang wartawan berbangsa French-Iranian bernama Freidoune Sahebjam mengembara di seluruh pelusuk Iran, akhirnya tersadai disebuah kampung bernama Kuhpayeh kerana keretanya rosak. Ketika dia menunggu keretanya untuk dibaiki, dia didatangi oleh seorang wanita bernama Zahra. Zahra meminta dia mendengar suatu kisah, dan Freidoune harus berjanji untuk menyebarkan kisah ini kepada dunia.
Segalanya bermula apabila Soraya enggan menceraikan suaminya Ali. Ali, bapa 4 orang anak jatuh cinta dengan gadis berusia 14 tahun. Dia yang bekerja sebagai pegawai penjara berjanji untuk membebaskan seorang tahanan dengan memperisterikan anak perempuannya. Sungguhlah Ali tidak mampu beristeri 2. Dia meminta Mullah memujuk Soraya menceraikannya, dan Mullah akan mengahwini Soraya secara muta’ah dan menjaga 2 anak perempuannya. Soraya enggan.
Ali sudah tidak pulang kerumah, apatah lagi memberi nafkah kepada Soraya. Soraya akhirnya bekerja sebagai pembantu rumah kepada seorang duda yang kematian isteri bernama Hashem. Ali mula merancang konspirasi dengan menuduh Soraya curang berzina dengan duda tersebut. Alasan yang keji – apabila Soraya dihukum rejam sampai mati, maka Ali tidak perlu lagi membayar nafkah kepada 2 orang anak perempuannya. Dia merancang berkahwin lain selepas itu, dan membawa 2 anak lelakinya bersama. Manakala 2 orang anak perempuannya ditinggalkan bersama Zahra, ibu saudara Soraya.
Ali kemudiannya berjumpa Hashem dan mengugutnya supaya mengaku bahawa Soraya berzina dengannya. Dia terpaksa mengakuinya, apabila Ali dan Mullah akan menyabitnya dengan hukuman mati. Ali menyeret Soraya ke tengah khayalak ramai, memaki hamunnya dengan tuduhan dia pelacur dan penzina, sehingga satu kampung memandang hina terhadapnya.
Ali dan Mullah membawa kes Soraya ke Datuk Bandar bernama Ibrahim, meminta dia menjalankan pengadilan. Ali sendiri menjadi saksi, dengan Hashem turut mengakuinya. Dalam hal ini, Hashem dibebaskan kerana Soraya yang menggodanya dahulu ( amenda ni!)…
Perbincangan memutuskan yang Soraya bersalah, maka dia akan dihukum rejam sampai mati….
Sampai babak ini, memang dah bercupak air mata mengalir. Lihat mereka menyediakan tempat hukuman ibarat pesta, Ali gembira bila niat jahatnya terlaksana. Sayu bila lihat Soraya tenang memeluk kedua anak perempuannya. Dia direjam dengan separuh badannya ditanam dan kedua tangannya diikat. Orang pertama yang membaling batu adalah bapanya sendiri. Dia menjerit kepada umum, yang Soraya bukan anaknya lagi. Paling sedih, bila Ali menyuruh kedua anak lelakinya melempar batu ke ibunya sendiri….
Mereka tidak mengebumikan jenazah Soraya. Jenazahnya di campakkan di tepi sungai, dan dimakan haiwan….
Ketika Zahra selesai menceritakan kisah ini kepada Freidoune, Mullah dan beberapa orang kampung datang kepada Freidoune. Mereka merampas begnya, merosakkan pita rakamannya. Freidoune diberi amaran supaya tidak mendedahkan kisah ini kepada sesiapapun…..
Si jahanam Ali dengan selamba berkata kepada Mullah dan Ibrahim yang dia tidak jadi berkahwin kerana tahanan itu tetap dijatuhkan hukuman mati dan kematian Soraya menguntungkannya kerana dia bebas dari membayar nafkah…
Berdasarkan kepada kisah benar – bukan hukuman itu yang menjadi persoalan, tetapi konspirasi yang dilakukan serta pengadilan kehakiman yang begitu berat sebelah menjadi plot utama kisah ini…
Be the first to leave a review.