Big recommendation dari makcik, sebab filem ni bagus. Kombinasi dari pelbagai genre – thriller, misteri, drama, romantik dan legal courtroom. Tema balas dendam yang cukup sinis. Cinematografi yang cukup cantik, menggambarkan situasi Amerika pada tahun 1950 an, di sebuah “marsh atau swamp” yang cukup indah dengan burung-burung dan pantai.
Kisah bermula dengan penemuan mayat Chase Andrew di sebuah paya. Sheriff tempatan menangkap Catherina ‘Kya’ Clark atau gelarannya “Marsh Girl” atas tuduhan membunuh Chase. Tanpa bukti yang kukuh – sekadar penemuan benang merah di dalam poket mangsa dan juga perhubungan antara mereka yang sudah diketahui oleh seluruh penduduk pekan Barkley Cove di North Carolina.
Ketika di penjara, Kya didatangi oleh seorang peguam bersara bernama Tom Milton, yang sudi mewakilinya secara percuma. Disinilah, Kya mula bercerita tentang siapa dirinya, dan kaitannya dengan Chase.
Bermula pada tahun 1953, keluarga Kya telah pun tinggal di kawasan paya tersebut. Kasihan pada Kya, bapanya seorang kaki botol dan sering memukul mereka. Sehinggalah, ibunya dan 4 orang adik beradiknya lari dan meninggalkan dia bersendirian bersama bapanya. Tak lama selepas itu, bapanya pun lari. Umurnya baru 7 tahun, ketika dia mengorek tiram dan menjualnya di kedai pasangan suami isteri berbangsa negro bernama Jumpin. Dia berkawan dengan Tate, yang juga sering merayau dan memancing di paya yang sama.
Kya tidak bersekolah, disisihkan dan dipandang jijik oleh masyarakat seolah-olah dia berdosa. Tapi dia tak pernah peduli pun. Yang baik hanyalah pasangan Jumpin dan Tate. Masa berlalu, Kya meningkat remaja. Tate mengajarnya membaca dan menulis. Kya pandai melukis, hubungannya yang akrab dengan alam dan hidupan paya menyebabkan dia mula mengumpulkan spesimen dan menulis mengenainya.
Tate meninggalkan Kya untuk menyambung pengajian di bandar. 5 tahun lamanya, tanpa sebarang khabar berita. Chase Andrew, anak seorang ahli perniagaan di pekan itu mula tergila-gilakan Kya. Kya menerima salam cinta dari Chase, tetapi Chase bukan lelaki yang baik. Dia mula bertindak mengongkong kehidupan Kya, dan yang paling menyedihkan bila Chase mula memukulnya. Kya teringat penderitaan yang ditanggungnya akibat sikap bapanya dulu. Dia tidak mahu pisang berbuah 2 kali.
Tate kembali semula…cuba meraih cinta Kya, tetapi Kya menolak. Cukuplah dunianya – paya yang disayangi dengan kedamaian kicauan burung “Crawdads” yang mengasyikkan, dan keghairahan menulis melukis dalam menerbitkan bukunya sendiri. Tak perlu Tate atau Chase….
Babak yang seterusnya bersambung di dalam mahkamah. Apabila pihak pendakwaraya bersungguh-sungguh mahu menyabitkan Kya dalam sabitan “first degree murder”. Peguam Millon berusaha dengan keras kerana Kya tidak mahu bercakap walaupun sepatah di kandang tertuduh. Benarkah Kya adalah pembunuhnya Chase? Atau ianya hanya satu tuduhan rambang masyarakat Barkley Cove yang memandang hina kepadanya….
“To protect the prey, sometimes the predator has to be killed”
Babai
#makcikreview
Be the first to leave a review.